Agro Fest : Hari Peladang Peternak dan Nelayan Peringkat Negeri Perak




September 2015, IPOH: Kerajaan Negeri sedang merancang untuk menjadikan Perak sebagai sebuah negeri pengeluar makanan utama bagi negara ini. 
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perancangan tersebut telah pun dilakukan melalui pelan Perak Amanjaya. “Kerajaan negeri telah pun membuat perancangan melalui Perak Amanjaya untuk menjadikan negeri Perak ini sebagai negeri pengeluar makanan untuk negara,” katanya.

Beliau berkata, sehingga saat ini, negeri Perak telah pun memperolehi pencapaian dalam beberapa kategori.“Antaranya daripada segi pengeluaran buah-buahan untuk peringkat negeri dan juga peringkat sara diri. “Kita berada pada tahap keempat dalam negara dan kita akan merancang untuk memastikan supaya pengzonan-pengezonan kawasan pertanian, penternakan dan juga perikanan akan terus dilakukan bagi menjadikan negeri Perak kita sebagai negeri pengeluar makanan utama di peringkat kebangsaan,” jelasnya lagi. Zambry berkata lagi, untuk mencapai tujuan tersebut, ia memerlukan satu perancangan dan juga penelitian terhadap faktor-faktor tertentu. “Ia termasuk juga melihat keadaan tanah yang ada di seluruh negeri,” katanya. 

Terdahulu, beliau telah merasmikan Agrofest dan ‘Road to HPPNK’ 2015 Peringkat Negeri Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Gopeng di sini, hari ini. Turut hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Nogeh Gumbek, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Perak, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan barisan Exco kerajaan negeri. Dalam majlis itu juga, Zambry turut menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang bagi pertandingan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Perak 2015. Beliau juga tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke gerai-gerai pameran yang telah disediakan oleh pihak penganjur.