MAJLIS PENYERAHAN BANTUAN TERNAKAN PINTAF & PEMBANGUNAN PADANG RAGUT 2015

Veterinar Perak, Ipoh 1 Disember 2015: Kerajaan Negeri telah meluluskan memperuntukan sejumlah RM2.89 juta untuk program Pinjaman Tanpa Faedah (PINTAF) bagi tahun 2015.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak 76 peratus daripada keseluruhan bajet Pembangunan Industri Ruminan Negeri Perak kepada program berkenaan.

Ujarnya, program berkenaan dilaksanakan untuk membantu penternak di negeri Perak untuk meningkatkan pendapatan melalui usaha ternakan ruminan mereka seperti lembu, kambing dan rusa.

“Kita harapkan dengan bantuan pinjaman tanpa faedah untuk mereka dapat memperkembangkan lagi serta membantu meningkatkan pendapatan mereka dan akhirnya menghasilkan lebih banyak lagi daripada segi pengeluaran yang mereka lakukan yang ada pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Ternakan PINTAF dan Pembangunan Padang Ragut Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak di sini, hari ini.

Dalam ucapan pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak, Dr Norlizan Mohd Noor berkata, ia adalah selari dengan usaha serta objektif Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) yang mensasarkan pembangunan komoditi sektor ternakan di kalangan pengusaha tempatan di seluruh negara.

Dr Norlizan berkata pihaknya juga sedang memacu strategi berkesan dalam pembangunan industri ruminan dalam komoditi ternakan selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kadar pengeluaran daging lembu, kambing dan susu tempatan.