Wabak bronkitis berjangkit tidak jejas bekalan ayam – Veterinar

PUTRAJAYA 12 Julai – Kematian ayam akibat jangkitan wabak bronkitis berjangkit tidak menjejaskan bekalan ayam di seluruh negara, sekali gus ia bukan isu yang membimbangkan. Ketua Pengarah Per­khidmatan Veterinar, Datuk Dr. Kamarudin Mad Isa berkata, pengeluaran ayam terutama pada musim perayaan ini masih melebihi permintaan. Menurutnya, bekalan ayam secara mingguan adalah mencukupi iaitu pada bulan Mei sebanyak 13.02 juta ekor, Jun (13.41 juta ekor) dan Julai (13.78 juta ekor) telah dikeluarkan. 

Beliau seterusnya berkata, wabak itu adalah virus yang biasa berlaku terhadap ternakan ayam dan boleh ditangani melalui suntikan vaksin dan lebih penting ia tidak membahayakan manusia. “Ayam daging yang berada di pasaran te­lah dirancang pengeluarannya sejak 60 hari lebih awal, melibatkan dua peringkat iaitu daripada penetasan telur dan pemeliharaan ayam pedaging. “Sejak tahun 1930, wabak itu telah ada di negara ini dan menjadi kemestian untuk semua peladang memberi vaksin bronkitis berjangkit kepada ayam yang baru menetas bagi mengelakkan daripada jangkitan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Beliau mengulas laporan me­ngenai tindakan pemborong dan penternak cuba mengambil ke­sempatan menaikkan harga ayam secara mendadak sehingga RM10 sekilogram sejak Khamis lalu berbanding harga kawalan RM7.90 berikutan kes wabak tersebut. Kamarudin berkata, sepanjang tahun ini, pihaknya mengesan enam kes wabak bronkitis berjangkit iaitu satu di Kedah dan lima di Perak, walau bagaimanapun ia tidak menyebabkan kematian yang tinggi dan telah dikawal dengan suntikan vaksin. Terkini kata beliau, pihaknya turut menerima laporan sebanyak 6,000 ekor ayam mati di Kuala Selangor, namun belum dipastikan sama ada akibat wabak tersebut atau faktor lain. 

“Saya tegaskan, wabak ini tidak akan memberi impak kepada pengeluaran ayam, setakat ini ayam yang mati akibat bronkitis berjangkit tidak sampai 0.7 peratus, seandainya ia mencecah sehingga lapan peratus sekalipun ia masih tidak memberi kesan. “Dalam proses ternakan, kematian ayam sebenarnya di­sebabkan oleh pelbagai faktor, antaranya penyakit sampar ayam, bakteria, gangguan makanan dan minuman tidak mencukupi dan cuaca panas. Perkara ini lumrah dalam sektor penternakan ayam,” katanya. Menurutnya, sektor penternakan ayam negara sebenarnya bergantung sepenuhnya kepada bekalan jagung yang diimport dan pada masa ini terdapat masalah bekalan dari negara pembekal iaitu Argentina tetapi ia dijangka selesai pada penghujung bulan ini.


**Sumber dari Utusan