Tingkat kesedaran H5N1

SAUDARA PENGARANG, AWAL Mac 2017 adalah episod ke empat Malaysia mengalami wabak penyakit selesema burung sejak lebih sedekad lalu. Tiga episod berlaku sejak 2004 dan negara memperoleh status bebas sejak September 2007.

Penyakit selesema burung atau HPAI (Highly pathogenic Avian Influenza) jenis H5N1 menyerang Kelantan buat kali kedua. Wabak itu dikesan pada ayam kampung yang didapati mati mengejut di empat jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok dan Pasir Puteh tetapi masih dalam kalangan ayam. Lebih 23,000 unggas dimusnahkan bagi mengawal penyakit tersebut dan tiada kes jangkitan manusia dilaporkan setakat ini. Kerajaan negeri pula mengisytiharkan wabak itu sebagai bencana negeri.

Mengikut laporan akhbar, kesan penyakit ini telah pun dirasai sejak pertengahan Februari lagi. Seorang penternak yang membela 16,000 ekor ayam telah merekodkan lebih 700 kematian ternakannya secara mengejut.Tidak menghairankan jika penyakit ini telah berlaku lebih awal lagi tetapi tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa. Ramai penternak dan orang awam tidak memahami sifat penyakit ini secara khusus dengan beberapa sebab.

Pertama, gejala ‘ayam mati mengejut’ lazimnya dikaitkan dengan penyakit klasik seperti penyakit sampar ayam kerana mempunyai gejala yang sama.Beberapa penyakit ayam yang lain juga memberikan gejala hampir sama. Kedua, tiada manusia yang dijangkiti atau maut dan dikaitkan dengan musibah ayam banyak mati ini.Ketiga, ramai penternak dan orang ramai tidak mempunyai kesedaran tinggi tentang kesihatan dan penyakit ternakan mahupun penyakit manusia bawaan haiwan (zoonotik).

Akta Binatang 1953 (pindaan 2006) mewajibkan orang ramai melaporkan kes kejadian penyakit haiwan kepada pihak berkuasa veterinar supaya penularannya dapat dibendung di samping menjaga keselamatan serta kesihatan manusia. Tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atas mereka yang gagal berbuat demikian. Terdapat 125 penyakit haiwan diwartakan sebagai wajib dilaporkan tetapi cuma satu pertiga sahaja yang terdapat di dalam negara ini. Malangnya, tanggapan masyarakat tentang penyakit haiwan tidak selari dengan perspektif pihak berkuasa. Misalnya, pengetahuan masyarakat khususnya penternak yang mampu mengenal pasti sesuatu penyakit haiwan adalah terbatas, biasanya kemahiran terbatas dalam kalangan ahli veterinar.

Selain itu, kurangnya kesedaran tentang kebajikan haiwan menyebabkan ramai di antara mereka beranggapan ‘nyawa dan kesihatan haiwan adalah tidak sepenting nyawa atau kesihatan manusia’. Ini menyebabkan hak haiwan itu untuk mendapat perlindungan kesihatan tidak diberikan keutamaan sewajarnya malah kadangkala diabaikan sepenuhnya. Hakikat ini boleh dilihat daripada jumlah besar kucing dan anjing terbiar sementara lembu, kerbau serta kambing dibiar berkeliaran di pekan dan kampung.

Sering juga kita baca tentang pembuangan bangkai ternakan di sungai tanpa ada laporan kes penyakit berbahaya. Dalam kes selesema burung ini, kematian yang begitu banyak masih tidak dilaporkan, berkemungkinan pada awalnya dianggap sebagai gejala kematian biasa sahaja.

Orang ramai termasuk penternak mungkin tidak mempunyai kemahiran mengenal pasti sesuatu penyakit khusus pada haiwan kesayangan atau ternakan mereka. Memadai sahaja jika dapat mengetahui haiwan itu sakit dan bertindak segera mendapatkan perkhidmatan veterinar. Sebahagian besar penyakit haiwan bukan mudah dikesan dengan hanya memerhati dan memeriksa fizikalnya malah mungkin memerlukan perkhidmatan sokongan seperti diagnosis makmal untuk pengesahan penyakit.

Sebarang kejadian kes penyakit termasuk kematian dalam jumlah luar biasa dan mengejut hendaklah dilaporkan kepada pihak berkuasa veterinar dengan kadar segera. Namun, ada beberapa jenis penyakit haiwan yang sangat berbahaya memerlukan tindakan kecemasan veterinar walaupun jika hanya seekor haiwan dijangkiti atau mati, bagi mengelak bencana besar kepada negara.

Antaranya penyakit berbahaya yang boleh menjejaskan kesihatan manusia dan ekonomi negara termasuk penyakit selesema burung, rabies (anjing gila), Nipah ensefalitis, sampar ayam, bruselosis serta penyakit kuku dan mulut (lembu dan kerbau). Apa yang orang ramai dan penternak perlu lakukan ialah bekerjasama dengan pihak berkuasa veterinar apabila penyakit menyerang ternakan mereka.

AZRI ADZHAR
Bekas Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan

Sumber Pertikan : Utusan Online