Perak Istihar Mukim Matang Kawasan Wabak Rabies


IPOH 17 Julai - Kerajaan negeri mengisytiharkan Mukim Matang dalam daerah Larut, Matang dan Selama sebagai kawasan jangkitan penyakit anjing gila berkuat kuasa hari ini. Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, ia sebagai langkah proaktif untuk pencegahan dan pengawalan wabak berkenaan.

Menurutnya, pengisytiharan dibuat di bawah Subseksyen 39 (1) Akta Binatang 1953. Beliau turut mengumumkan larangan membawa mana-mana anjing keluar dari mukim berkenaan melainkan dengan kebenaran bertulis daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar negeri.


“Mana-mana anjing dalam kawasan jangkitan yang tidak dikawal secara efektif mengikut Perintah 4, boleh dimusnahkan oleh mana-mana orang yang diberi kuasa secara bertulis oleh Pengarah Perkhidmatan Veterinar negeri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.