Naikkan sektor penternakan di Bagan Datuk

Februari 2018, BAGAN DATUK - Sektor penternakan bakal diperluaskan di daerah ini selepas dilihat berpotensi menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan muda serta penternak sedia ada.

Pengerusi Hab Generasi Daerah Bagan Datuk, Burham Mohamed Apandi berkata, satu majlis taklimat peluang dan masa depan dalam industri ternakan edisi Daerah Bagan Datuk diadakan baru-baru ini.

“Daerah Bagan Datuk berpotensi dibangunkan sektor penternakan seperti lembu, kerbau dan kambing kerana mempunyai beberapa kawasan ragut yang luas bagi tujuan ternakan.

“Alhamdulillah hampir 20 peserta mengisi borang permohonan Pinjaman Induk Tanpa Faedah (Pintaf) untuk permohonan baka ternakan,” katanya selepas majlis berkenaan, di Kampung Sungai Haji Muhammad.

 

Tambahnya, permohonan diisi peserta yang hadir akan diproses Jabatan Veterinar dan keputusannya akan diketahui antara Julai atau Ogos nanti.

“Mereka yang membuat permohonan Pintaf ini akan menerima baka haiwan ternakan sama ada lembu atau kambing untuk dipasangkan supaya dapat menghasilkan anak.

“Apabila anak haiwan ternakan tersebut dilahirkan pemohon akan diminta membayar harga semasa anak haiwan tersebut kepada Jabatan Veterinar,” katanya.

Katanya lagi, selepas membayar harga tersebut anak-anak haiwan ternakan tersebut akan menjadi milik penternak dan dibela sehingga besar.

“Apabila sudah cukup besar ternakan tersebut boleh dijual dengan harga lebih tinggi mengikut harga semasa dan sudah pasti pendapatan penternak akan bertambah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Khairuddin Tarmizi ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, menjadi harapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memajukan Bagan Datuk.

“Kita sedia maklum pelbagai limpahan projek pembangunan diterima penduduk Bagan Datuk atas usaha TPM dan sudah pasti jumlah penduduk akan bertambah bila semuanya siap dan beroperasi.

“Jadi sudah tentu akan ada permintaan makanan-makanan dari penduduk ini dan inilah peluang yang harus diambil dengan menternak lembu dan kambing untuk dijual kelak.

“Oleh itu, semua penternak perlu bersedia menambah jumlah ternakan mereka bagi memastikan permintaan daging daripada pelanggan dapat dipenuhi,” katanya.

 

Sumber : Sinar Harian