Aidiladha: Bekalan lembu, kambing cukup

24 Julai 2018, KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan bekalan ternakan hidup mencukupi sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidiladha. Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya telah mengambil tindakan sejak tiga bulan lalu bagi memastikan bekalan mencukupi.

"Berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, terdapat 6, 292 masjid dan 18, 101 surau akan mengadakan ibadah korban. Kita dapati terdapat permintaan 44, 673 ekor lembu dan 22, 130 kambing atau biri-biri. "Berdasarkan jumlah yang terdapat dalam negara sekarang, kita dah sediakan 50, 125 ekor lembu dan 31, 079 kambing.

Saya beri jaminan bekalan cukup, jangan bimbang," katanya menjawab soalan Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) di Dewan Rakyat hari ini.Katanya, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan manipulasi harga di saat akhir.

Menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) mengenai kewajaran meneruskan projek National Feedlot Corporation (NFC) yang memberi imej negatif, Salahuddin berkata, kerajaan tidak ingin mengenang naratif lama."Biar yang lama jadi kenangan, yang baik jadi tauladan dan yang tak baik jadikan sempadan. Saya setuju agar kita pergi kepada langkah konstruktif untuk pastikan bekalan daging capai 30 peratus.

"Kalau nak ungkap balik pasal NFC kita takkan ke mana-mana. Tapi apa yang ada di hadapan, kita mesti bangunkan dengan tanggungjawab," katanya.