Katanya, seramai 20,943 orang awam turut diberi pendedahan mengenai kesedaran tentang bahaya penyakit rabies dan cara menanganinya sekiranya diserang atau menjadi mangsa gigitan anjing.

"Persampelan ke atas anjing liar di kawasan bersempadanan dengan kawasan perwartaan wabak rabies iaitu di daerah Kerian, Kuala Kangsar dan Kinta juga menunjukkan tiada tanda-tanda penularan wabak rabies ke kawasan berkenaan.

"Sehingga kini keadaan wabak tersebut di Mukim Taiping masih terkawal dengan kes positif melibatkan jangkitan rabies ke atas anjing liar kekal kepada hanya empat kes seperti mana yang dilaporkan sebelum ini," katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, sehingga kini Perintah Kawasan jangkitan Penyakit Anjing Gila (rabies) bagi Daerah Larut Matang Dan Selama yang dikeluarkan pada 14 Januari lalu masih berkuat kuasa dan belum ditarik balik.

Katanya, semua pihak perlu terus mengambil langkah berjaga-jaga di mana mereka tidak dibenarkan membawa keluar anjing dari kawasan pewartaan kecuali dengan kebenaran bertulis daripasa Pengarah Perkhidmatan Veterinar negeri dalam usaha mencegah wabak ini menular ke kawasan lain.

"Orang ramai juga dinasihatkan tidak membawa pulang anjing dari kawasan lain ke Mukim Taiping dan Bukit Gantang bagi mengelak risiko jangkitan penyakit anjing gila atau rabies.

"Operasi sekatan dan rondaan jalan raya oleh Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri bersama polis dijalankan di sempadan kawasan pewartaan bagi menghalang pemindahan keluar anjing dari sempadan pewartaan wabak itu," katanya.

Sumber -utusan