Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Ternakan Rusa

  

Rusa adalah sejenis haiwan herbivor yang berkuku sama dalam kumpulan Cervidae. Di Malaysia, rusa tempatan adalah dari jenis Sambar (cervus unicolor) dan Kijang (Muntiacus mumjak). Jenis rusa yang diternak kebanyakannya adalah dari spesis Cervus timorensis. 

Pembangunan komoditi rusa di Negeri Perak bermula pada tahun 1990 di mana sebanyak 45 ekor rusa betina dan 5 ekor rusa jantan jenis Cervus timorensis telah diimport dari Mauritius dan ditempatkan di Ladang Infoternak Sg. Siput(U). Kemudian oleh kerana pertambahan bekalan rusa dan peningkatan populasi rusa yang baik dan cepat, ianya dikembangkan ke padang ragut milik Jabatan.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak melalui Unit Eksotik dipertanggungjawabkan untuk membangunkan industri ternakan rusa di Negeri Perak. Kerjasama dilakukan dengan Unit Agronomi dan Pemakanan Ternakan bagi membangunkan dan memajukan padang ragut Jabatan yang sedia ada untuk aktiviti penternakan bagi masyarakat sekitar khususnya di Negeri Perak.

Objektif Unit Eksotik :

  • Mempromosi Pembangunan Industri Ternakan Eksotik
  • Transformasi Teknologi Terkini Kepada Para Pengusaha Ternakan Eksotik
  • Mewujudkan peluang kepada pengusaha ternakan untuk mempelbagaikan usaha-usaha bidang menternak pelbagai spesis ternakan.
  • Peningkatan pendapatan sampingan melalui perusahaan ternakan eksotik yang mampan.

Sehingga tahun 2013 bancian Jabatan menunjukkan terdapat hampir 5000 ekor ternakan rusa diternak di seluruh Negeri Perak. Kawasan tumpuan utama penternakan rusa adalah di daerah kecil Lenggong di Hulu Perak dan kawasan tersebut dinamakan sebagai ‘rusa belt’. Penternakan rusa di padang ragut menjadi keutamaan kepada Jabatan bagi tujuan mengoptimakan penggunaan kawasan ragutan yang kaya dengan sumber makanan untuk ternakan rusa. Sistem penternakan berkelompok dijalankan di padang ragut bagi memastikan aktiviti penternakan dijalankan secara sistematik dan mengikut peraturan dan kaedah yang betul. Konsep ini telah dilaksanakan melalui penubuhan Persatuan Padang Ragut yang dianggotai oleh penduduk setempat yang berminat.

Unit Eksotik komited dalam :

  • Memastikan usahaternak ini dapat dijalankan secara berterusan dan berdaya maju dengan pendekatan dan cara pernternakan yang baik.
  • Memastikan komoditi ini sebagai industri yang boleh memberi pulangan dan keuntungan yang baik kepada penternak dan pengusaha yang menceburi dalam komoditi ini.
  • Memastikan usahaternak ini mempunyai pasaran yang baik, ke arah komersial seiring sebagai penyumbang kepada pengeluaran sumber protien negara.

MAKLUMAT ASAS RUSA

Spesis  

:

Cervus Timorensis

Berat Hidup Dewasa

:

Jantan  : 80 kg hingga 120 kg

   

Betina : 70 kg hingga 90 kg

Jangka Hayat

:

15 Tahun

Tempoh Matang    

:

1 - 2 Tahun

Ratio        

:

1 Jantan 10 Betina

Tempoh Bunting

:

7 Bulan (210 Hari)

Kadar Kelahiran (purata)

:

60 % (padang ragut)

Bilangan Anak

:

1 ekor (2 Tahun 3 Ekor)

Keperluan Kawasan

:

10 ekor / ekar

Tempoh dipasarkan

:

1 hingga 1 ½ Tahun

Berat dipasarkan

:

50 - 60 kg

Berat Karkas

:

50 %

Harga Baka

:

Induk : RM2000 - 2500 / ekor

   

Pejantan : RM2500 hingga 3500 / ekor

Kaedah Penternakan

:

Lepas Bebas dan Fidlot

Kawasan Ragutan

Kawasan penternakan rusa perlu dipagar keliling (perimeter) menggunakan pagar Cyclone setinggi 6’. Kawasan yang dipagar perlu dibahagikan kepada petak-petak ragutan bagi memudahkan ragutan secara bergilir dilakukan. Petak atau pedok ini juga perlu dipagar dengan pagar Cyclone 6’. Bagi kawasan penternakan yang terhad dan tidak luas, pagar seperti ‘chainlink’ juga boleh digunakan namun tidak digalakkan kerana ia boleh memberi risiko kecederaan kepada rusa. Saiz petak adalah bergantung kepada keluasan kawasan keseluruhan namun adalah digalakkan untuk menyediakan sekurang-kurangnya 7 petak bagi ragutan bergilir. Ia bertujuan untuk mengawal pertumbuhan rumput dan memastikan ternakan rusa memakan rumput pada usia rumput yang tinggi kandungan nutrient. Selain itu ia juga bagi mengelakkan ternakan terdedah kepada penyakit dan serangan cacing serta kutu. Pengurusan ternakan juga dapat dilaksanakan secara sistematik dan terkawal serta mudah untuk membuat pengasingan bagi tujuan jualan atau kesihatan. Keperluan Pemagaran :

  • Pagar Cyclone tinggi 6’ yang mempunyai daya leturan.
  • Tiang besi 3” x 8’ (2’ditanam dalam tanah)
  • Tiang Staple dan Pintu Pagar
  • Dawai duri/plain

Pemakanan Ternakan

Kawasan ragutan perlu ditanam dengan rumput bermutu seperti rumput ruzi (Brachiaria ruziziensis), rumput humidicola (Brachiaria humidicola), rumput signal (braciaria decumbens), rumput kuda/guinea (pannicum maximum). Kawasan penternakan juga perlu mempunyai pokok untuk teduhan dan pokok petai belalang sesuai sebagai tempat teduhan dan sumber makanan. Pokok-pokok hutan yang besar sebahagiannya perlu dibiarkan tumbuh sebagai tempat rusa berteduh dan berehat dan memberi suasana yang hampir kepada habitat asalnya.

Jika luas kawasan penternakan adalah terhad, boleh juga ternakan rusa diberi rumput secara potong dan angkut. Rumput yang disyorkan adalah dari jenis Napier (Pennisetum purpurium). Namun kadar rumput yang diberi kepada ternakan perlu mencukupi dan tidak menjejaskan diet harian ternakan bagi memastikan tumbesaran yang optimum.

Sumber Minuman

Setiap petak ragutan perlu disediakan takungan air bersih bagi memastikan rusa mendapat air minuman yang mencukupi. Takungan air perlu sentiasa dipastikan bersih dari kotoran daun-daun dan ranting kayu.

Sumber Makanan Tambahan

Makanan tambahan juga boleh diberikan kepada ternakan rusa seperti bahan hasil pemprosesan kacang soya, pellet kambing, dan juga garam jilatan untuk tambahan nutrien kepada ternakan. Makanan tambahan ini boleh disediakan dalam bekas khas yang diletakkan dibawah teduhan atau bangsal berbumbung di dalam kawasan penternakan.

Rumah Kelam (darkroom)

Rumah kelam atau rumah gelap adalah keperluan penting dalam penternakan rusa. Ia perlu disediakan dalam kawasan ternakan bagi memudahkan aktiviti pengurusan seperti rawatan, pengasingan anak dan ibu, program kesihatan, sembelihan dan juga untuk jualan. Rumah kelam ini boleh dibina dengan separuh konkrit dan separuh papan lapis yang tebal. Ia perlu dicat dengan warna hitam dibahagian dalam dan mempunyai lorong dan bilik untuk pengasingan serta ‘crusher’ atau pengepit bagi tujuan mengekang rusa bagi tujuan rawatan, jualan dan sembelihan.

 

 

Kolam Mandi/Takungan Air

Rusa gemar mandi dan berendam terutama di waktu panas. Lopak air atau kolam boleh disediakan dengan aliran air yang baik dalam kawasan ternakan. Seeloknya kawasan ini terdapat kelompok pokok-pokok teduhan.

Penyakit Rusa

Penyakit-penyakit rusa seperti Tuberculosis, Heamorrhagic Disease sebenarnya merupakan ancaman kepada penternakan rusa negara tetapi telah dapat dikawal. Pada umumnya rusa merupakan ternakan yang sangat lasak dan mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran. Satu perkara yang menjadi masalah kepada penternakan ini ialah sifat rusa yang liar dan sanggup membunuh diri apabila terdesak. Penggunaan peralatan yang tidak sesuai juga boleh mencederakan rusa. Pemagaran rusa tanpa mengguna dawai cyclone akan mengurangkan kecederaan. Pengurusan yang baik akan menjadikan rusa lebih sihat.

Meskipun ternakan rusa jarang mendapat penyakit namun begitu penternak perlu sentiasa memantau pergerakan rusa dan melihat tanda-tanda luar biasa pada ternakan rusa dan antara penyakit/masalah yang biasa terdapat pada rusa ialah :

  1. Kutu dan cacing
  • Mudah dijangkiti oleh rusa terutama ketika musim hujan dan jika pengurusan petak ragutan tidak dilaksanakan dengan baik dan berjadual.
  1. Sakit Mata
  • Biasa terjadi pada anak rusa baru lahir yang tercucuk pada rumput dan menyebabkan luka dan berair.
  1. Bisul
  • Terjadi pada bahagian kaki, celah kuku dan pangkal paha. Dapat dikesan berdasarkan cara rusa berjalan.
  1. Luka
  • Boleh berlaku akibat pergaduhan, rempuhan pagar.
  1. Stress/Tekanan
  • Rusa sejenis haiwan yang mudah tertekan jika terkejut atau terlalu letih atau lapar. Apabila ini berlaku ia boleh menyebabkan kematian secara mengejut.

Jika berlaku tanda-tanda penyakit seperti ini, penternak boleh menghubungi Pejabat Perkhidmatan Veterinar terdekat untuk mendapatkan nasihat dan rawatan bagi mengatasi masalah tersebut.

 

logo-footer
  • JALAN SULTAN AZLAN SHAH (U),
    31400 IPOH, PERAK DARUL RIDZUAN

  • 05-5459111, 05-5459122, 05-5459133

  • 05-5472561, 05-5482712

  • This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Hakcipta Terpelihara © 2021 Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak. Kemaskini : 12/03/24 • Jumlah Pelawat : 21286928